Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
JUNJONGAN, Ahad, 1 Februari. - Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid As-Salaam, Kampung Junjongan dan Ahli Majlis Perundingan Kampung Junjongan hari ini mengadakan Majlis Israk dan Mikraj Tahun 1447 Hijrah/2026 Masihi bertempat di masjid berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Subuh berjemaah diimamkan oleh Imam Masjid As-Salaam, Awang Haji Hayrul bin Haji Hakim.
Selepas itu diikuti dengan ceramah bertajuk 'Peristiwa Israk Mikraj' yang disampaikan oleh Penceramah Undangan, Awang Aiffin bin Haji Amit.
Dalam ceramahnya menyatakan Israk Mikraj berlaku pada bulan Rejab, oleh itu, Allah Subhanahu Wata'ala menyeru umat Islam supaya melihat apa perkembangan Islam dan menghidupkan cinta kita kepada-Nya.
Sempena satu tahun penubuhan Masjid As-Salaam, MPK Junjongan buat kali keduanya turut menganjurkan Tamu As-Salaam yang diadakan di Kawasan Letak Kereta Masjid As-Salaam.
Sebanyak 40 pembekal (vendor) jualan-jualan seperti makanan dan minuman, produk-produk MPK Junjongan dan lainnya menyertai jualan tersebut yang berakhir pada sebelah petang.
Juga hadir, Ketua Kampung Junjongan, Awang Haji Tamam@Haji Ahmad Shah Tamami bin Haji Timbang dan penduduk kampung.